Thursday, March 25, 2010

Kebaikan dan keburukan Penggunanan Kad Kredit

Kad kredit bolehlah ditakrifkan sebagai sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai atau buat masa ini lebih dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin popular di kalangan masyarakat kita terutamanya ahli perniagaan.Kini terdapat semakin banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa,dan Master Card. Menurut pendapat Menteri Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Di samping itu, beliau juga turut meramalkan bahawa bilangan pengguna kad kredit ni negara kita akan bertambah pada tahun-tahun yang akan datang. Pada hemat saya penggunaan kad kredit akan terus diamalkan oleh masyarakat kita kerana kad tersebut mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban. Keadaan ini lebih ketara sejak kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50 peratus daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit. Pada hemat saya pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan kad kredit daripada menggunakan wang tunai kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila difikirkan perlu.

Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengeluar kad kredit American Express, jumlah pemegang kad tersebut bertambah hampir 40 peratus pada setiap tahun. Menurut kebanyakan pemilik kad tersebut, mereka berasa lebih selamat menggunakan American Express kerana mereka cepat mendapatkan kad ganti yang baru dengan cepat apabila berlaku kehilangan. Dalam hal ini saya berpendapat faktor keselamatanlah yang paling banyak mendorong pengguna menggunakan kad kredit.

Seterusnya, kebanyakan ahli masyarakat lebih gemar menggunakan kad kredit kerana mereka tidak perlu menukar mata wang ketika berada di luar negara. Sekiranya kita melancong ke luar negara, kita mungkin perlu menukarkan mata wang negara kita ke mata wang negara yang kita lawati itu. Hal ini tidak demikian bagi pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan dilakukan secara automatis setiap kali kad kredit tersebut digunakan. Menurut pendapat kebanyakan pelancong, mereka g lebih suka menggunakan kad kredit kerana mereka diberikan layanan yang lebih istimewa ketika berurus niaga terutamanya di hotel-hotel yang terkemuka dan bertaraf antarabangsa. Pada pendapat saya, keadaan ini mungkin disebabkan oleh imej kemewahan yang sering dikaitkan dengan pemegang kad kredit.

Di samping kemudahan yang boleh dinikmati, pemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa masalah. Hal ini kerana tidak semua para peniaga mahu menerima pembelian secara kredit terutamanya kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil yang jumlahnya lebih banyak daripada kedai-kedai yang besar atau pusat-pusat membeli belah yang terkenal. Oleh hal yang demikian, tempat-tempat penginapan atau pusat-pusat membeli belah yang boleh dikunjungi oleh pemegang kad kredit adalah terhad. Oleh itu, pemegang kad kredit mungkin menghadapi masalah sekiranya pusat membeli belah atau kedai dan gerai yang mereka kunjungi itu menolak penggunaan kad kredit.

Selain itu, pemegang kad kredit mungkin berbelanja secara berlebih- lebihan kerana mereka tidak begitu peka atau perihatin dengan nilai wang yang dibelanjakan. Oleh sebab itu, kita sering mendengar rungutan daripada pemilik kad kredit yang menghadapi masalah beban hutang yang banyak. Setelah puas berbelanja, mereka mungkin akan berada dalam keadaan yang sugul kerana terpaksa berfikir bagaimana hendak membayar balik jumlah wang yang telah mereka belanjakan itu.

Hal ini berlawanan dengan pesanan orang tua-tua `beringat-ingat sebelum terkena’. Menurut kajian yang pernah dibuat oleh mahasiswa Universiti Utara Malaysia, lebih 35 peratus daripada pemilik kad kredit mengalami masalah beban hutang yang teruk sehingga ada antara mereka yang diistiharkan muflis kerana tidak dapat menjelaskan hutang-hutang mereka. Keadaan ini mungkin berlaku kerana pemilik kad tersebut tidak sedar bahawa kad yang digunakan itu sebenarnya ialah wang, bukannya plastik yang tidak bernilai.

Seperti yang kita sedia maklum, urusan perniagaan yang menggunakan kad kredit dijalankan dengan penggunaan komputer.Oleh itu, terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam urus niaga tersebut. Walaupun perkara seperti ini jarang-jarang berlaku, kebanyakan peniaga tidak yakin dengan pelanggan yang menggunakan kad kredit terutamanya kad kredit yang tidak popular. Para peniaga tidak sanggup menanggung risiko yang tinggi dengan menerima kad kredit tersebut. Pihak Polis Bahagian Jenayah Perdagangan sering mengingatkan para peniaga supaya sentiasa berwaspada ketika berurus niaga dengan pengguna yang menggunakan kad kredit. Ini kerana mereka telah menerima lebih daripada 150 aduan berkaitan dengan hal tersebut sejak awal tahun ini.

Sebagai rumusannya, dapatlah dikatakan bahawa terdapat beberapa kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut secara bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun. Pada pendapat saya, walaupun penggunaan kad kredit didapati semakin popular dari setahun ke setahun, namun `wang plastik’ tersebut pasti tidak mungkin dapat menggantikan wang tunai yang sebenar.

No comments:

Post a Comment